BANGKOK: Individu yang sudah menerima suntikan vaksin sepenuhnya dibenarkan melancong ke beberapa destinasi pelancongan termasuk pulau peranginan terkenal di Thailand.
Program Phuket Sandbox dan Samui Plus menawarkan pengunjung antarabangsa menikmati keindahan pantai dan hospitaliti yang disediakan.
Bermula 15 Julai lalu, program Samui Plus menawarkan kunjungan ke kawasan tertentu di tiga pulau di wilayah Surat Thani iaitu Pulau Koh Samui, Koh Pha-ngan dan Koh Tao.
Pelancong dari luar negara perlu mematuhi beberapa syarat sebelum mengikuti pakej program tersebut.
Antaranya adalah pemegang pasport mempunyai sekurang-kurangnya tempoh sah enam bulan perjalanan.
Selain itu, pengunjung sudah membeli tiket pergi dan balik penerbangan.
Pengunjung juga mestilah menerima suntikan vaksin sepenuhnya yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Thailand dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Sehingga Julai, vaksin Covid-19 yang diluluskan oleh WHO adalah Pfizer, AstraZeneca, Janssen, Moderna, Sinopharm, Sinovac-CoronaVac.
Pelancong juga mestilah disahkan negatif ujian calitan Covid-19 dalam tempoh 72 jam sebelum melakukan penerbangan.
Mereka juga perlu membeli insurans perubatan dengan rawatan Covid-19 sekurang-kurangnya berharga AS$100,000 (RM422,000).
Bagi program Phuket Sandbox yang dibuka sejak 1 Julai lalu, tiada had kawasan untuk dikunjungi oleh pelancong.
Pengunjung bebas bergerak ke mana-mana di dalam kawasan pulau itu dengan syarat ditetapkan.










