BANDUNG: Penduduk di Bandung dilarang mengadakan perarakan takbir dengan mengelilingi kawasan perumahan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha.
Lapor CNN Indonesia, penduduk hanya disarankan mendengar rakaman takbir raya dari masjid.
Dalam masa sama, penduduk di Jawa Timur terutamanya di Madura diminta tidak mengadakan acara tradisi toron iaitu pulang ke kampung.
Ketua Kementerian Agama Bandung, Tedi Hamad Junaedi berkata, tatacara pelaksanaan sambutan Hari Raya Aidiladha 2021 diputuskan dalam Surat Edaran Kementerian Agama Nombor 17.
Katanya, daerah di zon PPKM tidak boleh meganjurkan perarakan takbir sama sekali.
“Disarankan semasa malam hari raya, takbir hanya diperdengarkan dari masjid melalui pembesar suara atau boleh menggunakan rakaman serta bentuk lain yang dapat diputarkan kepada penduduk setempat,” katanya.
Menerusi surat edaran itu, umat Islam disarankan supaya tidak mengerjakan solat sunat Aidiladha secara berjemaah di masjid, surau atau kawasan terbuka.
Sementara itu, katanya, ibadah korban hanya disarankan dilakukan pada 11,12 dan 13 Zulhijjah iaitu bersamaan 21,22 dan 23 Julai depan.