Jutaan penduduk China disekat masuk premis awam jika belum divaksin - Utusan Malaysia

Jutaan penduduk China disekat masuk premis awam jika belum divaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Jutaan penduduk China berdepan dengan larangan memasuki beberapa premis awam termasuk sekolah, hospital dan pusat beli-belah sehinggalah mereka menerima suntikan vaksin Covid-19.

Peraturan baharu dilaksanakan ketika varian Delta dilaporkan ‘menyemarakkan’ kembali kes jangkitan di negara ini dan kerajaan berusaha mengelakkan keadaan menjadi parah.

China menyasarkan seramai 64 peratus daripada 1.4 bilion penduduknya akan divaksin menjelang hujung tahun ini.

Di bandar Chuxiong di selatan wilayah Yunnan, kesemua penduduk berusia atas 18 tahun perlu menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin menjelang 23 Julai ini.

Sekiranya ada dalam kalangan mereka gagal berbuat demikian, golongan itu tidak akan dibenarkan memasuki kemudahan awam termasuk hospital, rumah kebajikan, tadika dan sekolah, perpustakaan, muzium, penjara serta menaiki pengangkutan awam.

Sebulan selepas itu, penduduk perlu mendapatkan suntikan dos kedua bagi membolehkann mereka memasuki bangunan awam.

Notis sama turut dikeluarkan oleh pihak berkuasa di sekurang-kurangnya puluhan bandar dan daerah di seluruh China.

Disebabkan notis tersebut, kebanyakan pihak berkuasa tempatan menyasarkan pemberian vaksin antara 70 hingga 80 peratus kepada penduduk menjelang September ini.

Daerah Tianhe di wilayah Henan pula mengancam untuk menyekat pembayaran gaji dan memecat mana-mana penjawat awam yang tidak menerima vaksin menjelang 20 Julai ini.

Selain itu, puluhan stesen sukarelawan ditempatkan di bangunan kerajaan, stesen kereta api dan beberapa tempat awam bagi mengumpul nama penduduk yang belum menerima vaksin. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN