MEKAH: Golongan jemaah kelainan upaya selesai menunaikan ibadah haji tahun ini dengan lancar dan tenang.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dengan kerjasama Persatuan Orang Cacat Harakiya berjaya membantu 17 jemaah kelainan upaya menunaikan ibadah haji sehingga selesai.
Kementerian dalam kenyataan memaklumkan, kelainan upaya tidak menghalang mana-mana individu untuk menunaikan rukun Islam kelima tersebut.
Seorang daripada jemaah, Abdullah Alraishan memberitahu, dia tidak mampu berkata apa-apa selepas dipilih menjadi tetamu Allah untuk tunaikan haji tahun ini.
“Semua kemudahan yang disediakan oleh Arab Saudi untuk jemaah kelainan upaya seperti kami amat baik dan lengkap. Kami berpeluang tunai haji dalam keadaan selesa dan lancar,” katanya.
Dalam pada itu, para diplomat di Arab Saudi yang terpilih menunaikan ibadah haji tahun ini juga menzahirkan rasa syukur dan gembira kerana diberi peluang menjadi tetamu Allah biarpun pandemik Covid-19 belum reda.
Ibadah haji tahun ini merupakan yang pertama untuk Mahmoud Alnashrati yang bertugas di pejabat konsulat Mesir di Riyadh.
Katanya, haji memberi dia peluang dan ruang bertemu dengan ramai orang daripada pelbagai latar belakang.
“Berada di Arafah dan melakukan setiap satu rukun haji merupakan perasaan paling indah yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata,” katanya kepada Arab News.
Mohamed Qasim Jibril yang bertugas di pejabat konsulat Afrika Selatan di Jeddah berkata. dia tidak pernah menyangka akan terpilih menjadi tetamu Allah pada haji tahun ini.
“Saya amat berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana memberi peluang ini,” ujarnya.
Bagi Endang Jumali Uman yang bertugas di pejabat konsulat Haji dan Umrah Indonesia di Jeddah, ibadah haji tahun ini amat berbeza.
“Biarpun saya sudah pernah tunaikan haji sebelum ini, perasaan serta suasana haji tahun ini amat berbeza.
“Arab Saudi memberikan perkhidmatan serta layanan haji kepada jemaah menerusi kaedah dan susunan yang amat baik,” jelasnya.










