CHANDIGARH: Pasukan perubatan di sini berjaya mengeluarkan gumpalan rambut seberat 1.5 kilogram dari perut seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.
Dinamakan sebagai Sindrom Rapunzel, gumpalan rambut itu juga dikenali dengan nama trichobezoar yang berpunca daripada tabiat suka makan rambut.
Kanak-kanak perempuan itu dibawa ke hospital selepas dia mengadu sakit dan bengkak pada perut, selain hilang selera makan.
Selepas pemeriksaan dibuat, doktor mendapati kesakitan itu diakibatkan oleh gumpalan rambut besar di dalam perutnya.
Menurut ibu bapanya, kanak-kanak perempuan berkenaan mempunyai tabiat makan rambut sejak dua setengah tahun yang lalu.
Mereka cuba melarangnya dengan menggunting pendek rambutnya, namun usaha itu gagal kerana kanak-kanak perempuan itu turut makan rambut orang lain.
Jelas doktor, pembedahan untuk mengeluarkan rambut itu mengambil masa selama sejam dan kanak-kanak itu dilaporkan stabil. – AGENSI