BERLIN: Polis Jerman dan Belgium memaklumkan orang ramai yang memenuhi kawasan terjejas banjir dan ‘sibuk’ mengambil gambar keadaan sekeliling menyukarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
Pasukan polis di wilayah paling teruk terjejas di Euskirchen di barat Jerman memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menerbangkan dron di sekitar kawasan banjir kerana perbuatan itu boleh mengganggu dron pasukan kecemasan yang mengesan ratusan mangsa hilang.
Datuk Bandar Olne di Belgium, Cedric Halin turut menyuarakan rasa tidak puas hati apabila orang ramai meletakkan kenderaan mereka di jalanan sehingga menyukarkan kenderaan pasukan kecemasan melaluinya.
“Kami perlukan solidariti dari penduduk, bukannya mereka yang ‘suka melihat kesengsaraan’ orang lain,” katanya kepada stesen penyiaran RTBF.
Di Belanda, pasukan sukarelawan mengadu ‘orang luar’ mencuri basikal mereka ketika terlibat dalam kerja-kerja pembersihan kawasan banjir, selain pemilik premis perniagaan melaporkan produk jualan mereka turut dicuri.
Pihak berkuasa di Roermond di wilayah Limburg dilaporkan terpaksa mengeluarkan saman kepada orang ramai dan pelancong yang berpusu-pusu memenuhi lokasi terjejas.
Dalam pada itu, jumlah korban bencana banjir yang berlaku kini meningkat sekurang-kurangnya 183 orang dengan puluhan lagi hilang.
Seramai 144 orang maut sejak Rabu lalu di Jerman, manakala 27 lagi menjadi korban di Belgium.
Belgium turut mengisytiharkan esok (Selasa) sebagai hari berkabung untuk memperingati mangsa banjir yang terkorban.
Sementara itu, kerja-kerja pembersihan kawasan terjejas diteruskan dengan bantuan tentera, selain pasukan penyelam juga ditugaskan untuk mencari kediaman dan kenderaan penduduk yang tenggelam. – AFP/AGENSI