GENEVA: Ketua Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Michelle Bachelet mengutuk tindakan Cuba yang menggunakan kekerasan berlebihan terhadap penunjuk perasaan menyertai protes anti-kerajaan di negara itu.
Lapor Al Jazeera, Bachelet juga mendesak kerajaan Cuba untuk membebaskan segera penunjuk perasaan dan beberapa pengamal media yang ditahan dalam demonstrasi tersebut.
Bachelet menerusi kenyataan mengecam tindak balas kerajaan dalam menangani situasi berkenaan.
“Perkara ini amat membimbangkan termasuk individu ditahan didakwa tidak dibenarkan berhubung dengan sesiapa dan keberadaan mereka juga tidak didedahkan.
“Semua yang ditahan kerana menggunakan hak mereka harus dibebaskan dengan segera,” katanya.
Bachelet juga menggesa satu siasatan bebas, telus dan efektif dijalankan terhadap mangsa yang meninggal dunia dan ratusan penunjuk perasaan ditahan.
Seorang maut dan sekurang-kurangnya 100 ditahan dalam protes besar-besaran itu.
Tunjuk perasaan anti-kerajaan yang jarang berlaku di Cuba tercetus pada Ahad lalu.
Ribuan penduduk Cuba menyertai protes itu berikutan tidak berpuas hati dengan krisis ekonomi, kekurangan bekalan makanan dan perubatan, kenaikan harga barangan dan pengurusan pandemik Covid-19 di negara itu. – AGENSI










