Covid-19: Sijil vaksinasi palsu dikesan di Mexico - Utusan Malaysia

Covid-19: Sijil vaksinasi palsu dikesan di Mexico

PENDUDUK menunggu untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di sebuah pusat vaksinasi sementara di luar pekarangan sekolah di bandar Mexico. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO CITY: Satu sindiket yang menjual sijil vaksinasi Covid-19 palsu dikesan di ibu negara Mexico.

Sijil imunisasi Covid-19 palsu itu bertujuan membolehkan penduduk tempatan melakukan perjalanan ke negara-negara yang memerlukan bukti vaksinasi.

Dilaporkan, perkhidmatan baharu itu muncul selepas sindiket itu juga menawarkan dokumen palsu lain seperti surat beranak, lesen memandu dan pasport.

Seorang vendor mendedahkan individu yang membeli sijil vaksinasi palsu itu biasanya terdiri daripada golongan yang mahu melakukan perjalanan namun belum menerima suntikan vaksin Covid-19 lengkap
atau vaksin yang tidak diiktiraf di negara dilawati mereka.

“Sekiranya mereka menerima suntikan vaksin Covid-19 keluaran China maka kami akan menukar maklumat itu kepada Pfizer atau Sputnik V,” kata vendor itu yang hanya dikenali dengan nama Cris.

Menurut seorang wartawan AFP, lelaki itu memaklumkan pelanggan hanya perlu membayar harga antara 1,100 hingga 2,000 peso Mexico (RM232 hingga RM423).

“Dalam masa dua jam sahaja, anda boleh mendapat dokumen yang diminta itu,” katanya.

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Mexico mengumumkan penduduk yang sudah menerima suntikan vaksin perlu memuat turun sijil imunisasi Covid-19 secara percuma menerusi laman sesawang rasmi
bagi digunakan semasa perjalanan atau situasi lain.

Kira-kira 21 juta penduduk di Mexico sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 yang dibangunkan  Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac, Cansino, Sputnik V dan Johnson & Johnson. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN