BEIJING: Kumpulan pakar memutuskan punca utama bangunan pencakar langit yang bergoyang sehingga mencetuskan panik dalam kalangan orang ramai di selatan China pada awal tahun ini adalah disebabkan oleh gerakan angin.
Menara SEG Plaza yang berketinggian 300 meter di bandar Shenzhen berhampiran Hong Kong itu mula bergoyang secara tiba-tiba pada 18 Mei lalu, menyebabkan ratusan penghuninya dipindahkan segera dan orang ramai di kawasan sekitar lari bertempiran akibat panik.
Pihak berkuasa China ketika itu memaklumkan gempa bumi sebagai punca bangunan tersebut bergegar dan bergoyang, selain premis itu ditutup buat sementara waktu bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan.
Namun, kumpulan jurutera yang melakukan siasatan itu memaklumkan punca kejadian adalah disebabkan oleh gerakan angin dan juga tiang penyokong yang uzur.
“Struktur utama menara itu selamat dan boleh digunakan.
“Kami percaya, tiang uzur yang sudah diganti secara tidak langsung mengukuhkan struktur bangunan tersebut, selain dijamin selamat jika berdepan dengan situasi yang sama (gerakan angin),” kata kumpulan jurutera itu menerusi kenyataan.
dalam pada itu, kumpulan jurutera tersebut juga memaklumkan, proses meruntuhkan bangunan dan baik pulih akan dilakukan pada masa akan datang.
Gegaran dan goyangan yang kuat boleh menyebabkan struktur bangunan mengalami keretakan teruk, malah runtuh.
Pemantauan pakar mendapati menara tersebut yang dibina pada 2000 bergegar sebanyak 21 kali antara 18 dan 20 Mei lalu. – AFP










