MELBOURNE: Impian Australia untuk kekalkan rekod sifar kematian akibat Covid-19 pada 2021 gagal selepas kes kematian pertama yang dikaitkan dengan koronavirus di negara ini dilaporkan semalam.
Kematian pertama itu direkodkan berlaku dalam tempoh 10 bulan.
Menurut pihak berkuasa Australia, kes itu melibatkan seorang wanita berusia 90-an di Sydney dan pihak berkuasa Australia memaklumkan, dia dijangkiti virus itu ketika mengadakan perjumpaan dengan keluarganya.
New South Wales ketika ini merekodkan sebanyak 77 kes baharu sehingga semalam, selain 52 orang dimasukkan ke hospital dan 15 ditempatkan di unit rawatan rapi.
Sydney ketika ini menjalani perintah berkurung selepas kes jangkitan yang disebabkan varian Delta meningkat mendadak.
Kes wanita itu menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 di Sydney adalah sebanyak 57 orang.
Ketua Menteri New South Wales, Gladys berejiklian memberi amaran jumlah kes jangkitan harian akan terus bertambah sehingga beberapa hari akan datang.
Malah, beliau ‘akan terkejut’ sekiranya kes jangkitan kurang dari 100.
“Saya bimbang sekiranya kes jangkitan menjadi lebih teruk daripada apa yang kita lihat sekarang,” katanya.
911 kematian
Sejak pandemik bermula, Australia merekodkan sebanyak 911 kematian dengan lebih 31,000 kes jangkitan sejak pandemik bermula tahun lalu.
Perintah berkurung yang meliputi lima juta penduduk di sekitar Sydney, Wollongong dan Central Coast pada mulanya bakal berakhir pada Jumaat lepas.
Namun, terpaksa dilanjutkan sehingga 16 Julai ini susulan peningkatan kes
Sementara itu, kurang dari 10 peratus penduduk Australia sudah menerima suntikan lengkap vaksin Covid-19 berikutan bekalan vaksin yang tidak mencukupi. – REUTERS/AGENSI










