PORT-AU-PRINCE: Ariel Henry mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Haiti baharu dalam satu majlis yang diadakan di ibu negara itu, semalam.
Pelantikan itu dibuat kira-kira dua minggu selepas insiden pembunuhan Presiden Jovenel Moise yang mencetuskan krisis politik di negara tersebut.
Sebelum ini, Perdana Menteri sementara, Claude Joseph berkata, beliau akan berundur daripada jawatan tersebut.
Keputusan Joseph itu selepas sekumpulan diplomat antarabangsa menyatakan sokongan penuh kepada Henry dan mendesak penubuhan kerajaan baharu.
Henry yang merupakan bekas menteri Kabinet dalam majlis itu berkata, beliau merancang untuk mengadakan pertemuan dengan pelbagai sektor dalam masa terdekat.
Kata beliau, pertemuan itu dilakukan bagi membina konsensus politik untuk menangani masalah dihadapi Haiti. – AGENSI










