KALIMANTAN: Tentera Nasional Indonesia (TNI) Angkatan Laut berjaya menemukan seorang nelayan yang menjadi mangsa dalam tragedi 17 kapal nelayan yang hilang di perairan Pontianak, Kalimantan Barat, minggu lalu.
Lapor CNN Indonesia, nelayan tersebut sudah meninggal dunia ketika ditemui.
Jumlah mangsa korban ketika ini adalah seramai 22 orang manakala, 33 individu lain dilaporkan masih hilang.
Daripada 138 nelayan yang hilang, 83 daripadanya sudah ditemukan dalam keadaan selamat.
Bot nelayan karam di perairan Kalimantan Barat akibat dibadai ombak besar sejak Selasa, minggu lalu.
Kejadian tersebut menyebabkan puluhan nelayan yang berada dalam bot tersebut turut tenggelam.
Komandan Leftenan Kolonel Laut, Rudi Iskandar berkata, jasad nelayan yang ditemukan itu berada dalam keadaan terapung di celah bangkai kapal karam.
“Kami meluaskan kawasan pencarian dan berjaya menemukan mayat yang terapung dan menyelamatkan mangsa dengan kapal penyelamat,” katanya.










