LONDON: Sebanyak 200 rangka manusia yang dipercayai berasal dari abad keenam ditemukan dalam kubur besar di satu daripada pantai terbaik di Britain.
Kubur besar itu dipercayai tersembunyi dalam pasir pantai di Wales sejak lebih 1,000 tahun lalu sehingga hakisan tanah berlaku.
Kesemua rangka manusia yang ditemukan itu dipercayai komuniti awal yang beragama Kristian.
Penemuan itu kini diuruskan oleh pasukan dari Dyfed Archaeological Trust dan Universiti Sheffield dan mereka berlumba dengan masa bagi memastikan tanah sekitar kubur itu tidak terhakis dan dihanyutkan ke laut.
Ahli arkeologi, Jenna Smith berkata, pasukannya gembira dengan penemuan itu memandangkan kesemua rangka manusia terbabit berada dalam keadaan baik.
“Dengan tempoh masa yang lama, kami menjangkakan rangka itu akan hancur, tetapi kami bernasib baik kerana keadannya amat baik sekali,” katanya.
Kerja-kerja penggalian dimulakan selepas sejumlah tulang ditemukan di kawasan pantai tersebut.
Pakar di Universiti Sheffield mendedahkan kesemua rangka manusia itu milik lelaki, wanita dan kanak-kanak pelbagai peringkat usia.