TOKYO: Satu insiden tanah runtuh berlaku di bandar Atami di wilayah Shizuoka, menyaksikan 19 orang hilang.
Kejadian itu berlaku selepas beberapa hari kawasan tersebut dilanda hujan lebat.
Siaran televisyen menunjukkan tanah bercampur lumpur menimbus beberapa bangunan dan penduduk berpusu-pusu menyelamatkan diri serta harta benda mereka.
Tanah runtuh itu berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi ini, menyebabkan sejumlah rumah musnah dan lebih 200 kediaman lain terputus bekalan elektrik.
Kebanyakan kawasan di seluruh Jepun ketika ini dilanda musim hujan yang sering mencetuskan banjir kilat serta tanah runtuh.
Dalam pada itu, pihak berkuasa tempatan akan mendapatkan bantuan tentera untuk melakukan operasi mencari serta menyelamat mangsa yang dikhuatiri tertimbus bawah tanah. – AFP










