BEIJING: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meluluskan vaksin Sinovac dari China bagi kegunaan ketika kecemasan.
BBC melaporkan, vaksin itu merupakan vaksin kedua dari China yang mendapat kebenaran tersebut daripada WHO selepas Sinopharm.
Perkembagan mutakhir itu memberikan laluan untuk suntikan vaksin itu digunakan dalam program Covax yang bertujuan memastikan akses sama rata.
Menurut WHO, kelulusan kecemasan bermakna vaksin memenuhi kriteria piawaian antarabangsa bagi tujuan keselamatan, keberkesanan dan pembuatan.
“Kajian menunjukkan Sinovac mampu mencegah penyakit simptomatik lebih separuh daripada individu yang diberikan suntikan vaksin serta mencegah daripada gejala atau kesan sampingan yang teruk dan dimasukkan ke hospital,” katanya.
Selain China, vaksin Sinovac sudah digunakan di beberapa negara seperti Chile, Brazil, Indonesia, Mexico, Thailand dan Turki.










