Vaksin Pfizer sebabkan radang jantung? - Utusan Malaysia

Vaksin Pfizer sebabkan radang jantung?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Kementerian Kesihatan Israel mendakwa vaksin Covid-19 keluaran Pfizer berkemungkinan menjadi punca masalah keradangan jantung yang berlaku terhadap sejumlah kecil penerima suntikan vaksin itu.

Lapor Daily Mail, analisis terhadap pelaksanaan vaksinasi Covid-19 mendapati sebanyak 148 kes berkaitan miokarditis (keradangan jantung) dilaporkan sejurus selepas individu menerima suntikan vaksin.

Setakat ini, sebanyak 275 kes dikesan dalam kalangan kira-kira lima juta penduduk yang sudah menerima suntikan vaksin Pfizer di Israel.

Baki 127 kes lain dipercayai berlaku kemudian yang kaitannya tidak dapat dipastikan.

Jelas kementerian itu, majoriti kes tersebut membabitkan lelaki berusia dalam lingkungan 16 hingga 30 tahun.

Bagaimanapun, katanya, sebanyak 95 peratus daripada golongan itu mempunyai kes ringan dan dua pesakit meninggal dunia.

Sebanyak 148 pesakit dalam kajian tersebut dilaporkan mengalami masalah jantung selama sebulan selepas mendapat suntikan vaksin Pfizer antara Disember 2020 dan Mei 2021.

Daripada jumlah itu, 27 individu mengalami masalah itu selepas mendapat dos pertama vaksin manakala 121 lagi selepas disuntik dos kedua.   

Ketua Pasukan Petugas menangani Covid-19 di Israel, Nachman Ash berkata, keberkesanan vaksin itu melebihi risikonya. 

Saintis Israel bagaimanapun tidak mengaitkan secara pasti masalah jantung dengan suntikan vaksin Pfizer.

Pada April lalu, pegawai kesihatan Israel membangkitkan isu suntikan vaksin Pfizer boleh menimbulkan masalah jantung selepas mengesan 60 kes berlaku dalam kalangan lelaki muda.

Pusat Kawalan Dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (CDC) Amerika Syarikat (AS) melancarkan siasatan mengenai isu tersebut pada bulan lalu.

Namun, CDC memaklumkan hasil pemantauannya tidak menemukan jumlah kes tinggi berlaku dalam kalangan mereka yang sudah divaksin berbanding mereka dijangka seperti biasa. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.