TPM Australia didenda kerana gagal pakai pelitup muka - Utusan Malaysia

TPM Australia didenda kerana gagal pakai pelitup muka

BARNABY Joyce - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Timbalan Perdana Menteri Australia, Barnaby Joyce dikenakan kompaun sebanyak A$200 dolar (RM625) kerana gagal memakai pelitup muka ketika berada di sebuah stesen minyak, sekali gus melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Lapor Reuters, pemimpin itu didenda kerana melanggar perintah kesihatan awam yang mewajibkan memakai pelitup muka ketika berada di dalam premis perniagaan atau runcit.

Joyce dikesan tidak memakai pelitup muka ketika membuat bayaran di stesen minyak yang terletak di kawasan parlimennya kira-kira 500 kilometer (km) utara Sydney pada Isnin.

Seorang penduduk menghubungi talian kecemasan, Crime Stopper dan memaklumkan perkara tersebut sehingga polis terpaksa ke lokasi itu.

Polis New South Wales menerusi kenyataan memaklumkan hasil siasatan mendapati seorang lelaki berusia 54 tahun tidak mengenakan pelitup muka ketika berada di premis tersebut.

Bagaimanapun, polis tidak mendedahkan identiti lelaki tersebut dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Joyce mengesahkan kejadian itu dalam temu bual bersama stesen televisyen, Sky News.

Katanya, ketika itu, beliau yang dalam perjalanan ke lapangan terbang, terlupa untuk mengisi minyak kereta.

“Di stesen minyak, saya masuk ke dalam untuk membuat bayaran dan 30 saat kemudian, saya dikenakan kompaun A$200 kerana tidak memakai pelitup muka,” katanya dalam temubual tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN