YANGON: Sesi persekolahan di Myanmar kembali dibuka hari ini buat pertama kali sejak rampasan kuasa junta tentera di negara itu.
Bagaimanapun, golongan guru dan pelajar dikatakan masih melakukan penentangan terhadap sesi pembukaan sekolah.
Seorang guru, Shwe Nadi berkata, dia langsung tidak takut ditangkap mahupun diseksa oleh junta Myanmar.
Namun jelasnya, dia lebih risau menjadi seorang guru yang akan mengajar murid segala bentuk propaganda kerajaan.
“Sudah tentu saya berasa risau kerana kehilangan pekerjaan. Malah, saya terlalu cintakan kerjaya sebagai guru. Walaupun tidak dibayar sepenuhnya, kami mempunyai maruah sebagai seorang guru,” ujarnya.
Bagi guru lain, Nu May, yang kehilangan punca pendapatan sebagai guru akibat menyertai protes menentang junta berkata, ‘jiwanya bersih’ kerana menyertai pemberontakan itu.
“Apabila saya melihat bagaimana mereka membunuh ramai orang, saya rasa tidak mahu lagi menjadi guru bagi pihak junta,” tegasnya.
Sejak 1 Februari lalu, pejuang demokrasi, Aung San Suu Kyi ditahan oleh junta tentera sehingga mencetuskan tunjuk perasaan di seluruh negara yang berlarutan selama empat bulan serta mengakibatkan 800 peserta demonstrasi terbunuh. -AFP










