Netanyahu, Bennett ‘dua kali lima’ - Utusan Malaysia

Netanyahu, Bennett ‘dua kali lima’

NAFTALI BENNETT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Pembentukan kerajaan pakatan baharu Israel menyaksikan Benjamin Netanyahu disingkirkan sebagai perdana menteri selepas berkhidmat selama 12 tahun.

Penyingkiran itu disifatkan sebagai tamparan hebat kepada Netanyahu yang selama ini ‘terlalu yakin’ kedudukan dan kuasanya akan terus kekal.

Tempat Netanyahu akan digantikan dengan pemimpin berhaluan kanan dari Parti Yamina, Naftali Bennett.

Namun, perubahan itu tidak akan membawa sebarang perubahan kepada penduduk Palestin apabila kedua-dua pemimpin tersebut mempunyai misi dan visi yang sama, iaitu terus merampas hak bumi Palestin.

Sama seperti Netanyahu, Bennett juga secara terang-terangan menolak kemerdekaan untuk Palestin dan menyokong kuat penempatan haram yahudi di bumi Palestin.

Malah, Bennett pernah mengkritik Netanyahu kerana memperlahankan pembinaan penempatan haram di Tebing Barat semasa era pentadbiran Presiden Barack Obama.

Ada cakap-cakap menyatakan Bennett akan jadi lebih ‘agresif dan zalim’ terhadap penduduk Palestin berbanding Netanyahu.

Hal ini kerana, beliau akan berusaha untuk memastikan kerajaan pimpinannya terus berkuasa dan tidak mahu mengulangi kesilapan yang dilakukan Netanyahu.

 

REAKSI PALESTIN

Penduduk Palestin sebelum ini sudah menyatakan perubahan kerajaan Israel tidak membawa sebarang makna untuk mereka kerana Zionis tetap akan menindas dan merampas hak mereka.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyifatkan perubahan itu hanya untuk Israel dan nasib penduduk Palestin tetap sama.

“Ini adalah hal ehwal dalaman Israel (perubahan kerajaan). Pendirian kami tetap sama iaitu kemerdekaan palestin dan Baitulmuqaddis ibu negara Palestin,” kata Mahmoud menerusi jurucakapnya, Nabil Abu Rudeineh.

Dalam pada itu, jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum menegaskan, tidak kisah siapa yang mentadbir Israel, wilayah itu akan kekal sebagai ‘entiti kolonial’.

“Perubahan itu tidak akan mengubah bagaimana pandangan kami terhadap entiti Zionis.

“Israel akan tetap jadi perampas hak bumi Palestin dan kami juga akan terus menentang Zionis sehingga ke titisan darah terakhir,” ujarnya.

 

IKRAR RAMPAS BALIK KUASA

Dalam pada itu, Netanyahu berikrar untuk ‘kembali semula’ dalam arena politik selepas beliau disingkirkan sebagai Perdana Menteri Israel.

Netanyahu yang menjadi Perdana Menteri Israel paling lama berkhidmat menyifatkan kerajaan pakatan baharu itu sebagai ‘lemah dan berbahaya’.

Pernah digelar sebagai raja dan mempunyai ‘kuasa magis’ dalam politik Israel, Netanyahu mampu bertahan selama berbelas tahun biarpun berdepan dengan pelbagai cabaran dari pihak lawan.

Beliau turut memberi amaran bahawa kerajaan baharu itu tidak akan mampu menghadapi Iran dan bakal hancur sebelum tiba waktunya.

“Kami akan kembali dan anda perlu berhati-hati,” kata Netanyahu selepas ahli Parlimen Israel mengundi 60-59 untuk membentuk kerajaan pakatan baharu bagi menggantikan pentadbirannya. – AFP/AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya