ATHENS: Sebuah lukisan karya pelukis terkenal, Pablo Picasso yang dicuri sembilan tahun lalu dalam kejadian rompakan di sebuah galeri di Greece, berjaya ditemukan semula.
Lapor BBC, polis di Athens berkata, lukisan bertajuk Woman’s Head ditemukan bersama sebuah lagi lukisan kincir angin yang dihasilkan oleh Piet Mondrian pada tahun 1905.
Kedua-dua lukisan itu dicuri bersama sebuah lagi karya seni dalam rompakan yang berlaku di Athens National Gallery pada 2012.
Karya seni itu dikeluarkan daripada bingkai dalam kejadian berlaku awal pagi yang hanya mengambil masa beberapa minit untuk dibawa lari.
Reuters dengan memetik kenyataan pegawai polis melaporkan, seorang lelaki warga Greece telah ditahan selepas karya seni itu ditemukan tersembunyi di sebuah gaung di kawasan luar bandar.
Sebelum ini, polis Greece percaya karya seni tersebut masih berada dalam negara.
Dilaporkan, lukisan Picasso dihadiahkan kepada Athens National Gallery oleh artis itu sendiri pada tahun 1949.
Lukisan yang dihasilkan sedekad lalu, dihadiahkan sebagai penghargaan atas penentangan negara itu terhadap Nazi Jerman. – AGENSI