Hong Kong larang penerbangan dari UK - Utusan Malaysia

Hong Kong larang penerbangan dari UK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG: Negara ini akan mengenakan larangan terhadap semua penerbangan penumpang dari United Kingdom (UK) bermula Khamis ini.

Lapor Al Jazeera, usaha itu dilaksanakan bagi menangani penularan varian baharu Covid-19.

Kerajaan Hong Kong menerusi kenyataan memaklumkan UK diklasifikasikan sebagai negara `berisiko tinggi’ disebabkan kes Covid-19 kembali meningkat dan penularan varian Delta secara meluas.

Dibawah klasifikasi tersebut, mana-mana individu yang berada di UK selama lebih dua jam akan dilarang daripada menaiki penerbangan ke Hong Kong.

Minggu lalu, Hong Kong mengesahkan kes jangkitan Covid-19 tempatan yang pertama membabitkan varian Delta sekali gus mengakhiri 16 hari sifar kes penularan tempatan.

Ini merupakan kali kedua kerajaan Hong Kong mengenakan larangan terhadap penerbangan dari UK selepas sekatan dilaksanakan pada Disember tahun lalu.

Larangan itu dilaksanakan di tengah ketegangan semakin meningkat antara UK dan China berhubung wilayah separa autonomi itu.

UK mengkritik China kerana melaksanakan undang-undang keselamatan baharu di Hong Kong dan mengawal ketat media negara itu.

Larangan penerbangan itu dikenakan selaras dengan dasar dilaksanakan kerajaan untuk menyekat penularan varian Covid-19 di Hong Kong.

Dasar itu antara lain mengenakan penggantungan terhadap penerbangan sekiranya lima atau lebih penumpang yang tiba dari lokasi sama disahkan positif untuk varian Covid-19 tertentu atau mutasi virus relevan dalam tempoh tujuh hari.

Larangan juga dikenakan sekiranya 10 atau lebih penumpang dari lokasi sama dijangkiti Covid-19 menerusi sebarang ujian saringan termasuk dilakukan ketika kuarantin dalam tempoh tujuh hari. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN