CHENNAI: Kekurangan bekalan vaksin Covid-19 memaksa Tamil Nadu menghentikan sementara program inokulasi Covid-19 yang akan berlangsung dari 3 hingga 5 Jun ini.
Lapor The Indian Express, ramai penduduk yang mengunjungi pusat kesihatan untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 pada hari ini telah diminta untuk pulang dan kembali semula selepas 6 Jun.
Jelas laporan itu, pegawai di pusat kesihatan mendakwa kehabisan bekalan vaksin Covid-19.
Setiausaha Kesihatan, J. Radhakrishnan berkata, stok vaksin Covid-19 yang sedia ada dijangka habis pada hari ini.
Katanya, negeri itu akan menerima bekalan vaksin Covid-19 seterusnya daripada Bharat Biotech pada 6 Jun dan Institut Serum India pada 9 Jun depan.
Setakat semalam, negeri itu mempunyai sekitar 493,000 dos vaksin yang mana 269,000 dos sepatutnya diagihkan kepada penerima berusia 18 hingga 44 tahun dan 224,000 dos kepada individu berumur 45 tahun ke atas.
“Kerajaan memperuntukan sebanyak 2.043 juta dos bagi bulan Mei dan kita sudah menerima 1.868 juta dos. Kami tidak pasti bila akan dapat baki 174,000 dos vaksin lagi.
“Kerajaan memaklumkan akan mengagihkan 4.258 juta dos vaksin pada bulan ini tetapi bekalan hanya akan sampai pada 6 dan 9 Jun kerana masalah bekalan,” katanya.
Setakat ini, Tamil Nadu sudah menerima sebanyak 9.6 juta dos vaksin Covid-19. – AGENSI








