NEW DELHI: Kerajaan India meluluskan vaksin Covid-19 keluaran Moderna bagi tujuan kegunaan kecemasan.
Langkah itu ketika India berusaha untuk mempercepatkan kempen vaksinasi selepas berdepan dengan peningkatan kes jangkitan dan kematian akibat Covid-19.
India yang memiliki 1.3 bilion penduduk, dilanda lonjakan tinggi kes Covid-19 pada April dan Mei lalu sehingga hampir melumpuhkan sistem kesihatan negara itu.
Vaksin keluaran Amerika Syarikat (AS) itu adalah yang keempat mendapat kebenaran New Delhi untuk kegunaan kecemasan selepas Covishield, Covaxin dan Sputnik V.
“Kami dengan sukacita ingin memaklumkan permohonan diterima daripada Moderna menerusi syarikat farmaseutikal, Cipla telah diberikan Kelulusan Penggunaan Kecemasan (EUA).
“Usaha kami untuk mendapatkan vaksin lain khususnya Pfizer dan Johnson & Johnson (J&J) juga akan berterusan,” kata anggota penasihat dari badan perancang India, Niti Aayong, Vinod K Paul dalam taklimat Kementerian Kesihatan.
Menurut Vinod, kelulusan tersebut juga membuka jalan bagi vaksin dihasilkan di negara lain untuk diimport ke India.
Sebahagian kecil suntikan vaksin Sputnik V diimport ke India selepas vaksin itu mendapat kelulusan pada pertengahan April lalu.
Namun, majoriti dos vaksin itu dijangka untuk dihasilkan di India seperti Covishield dan Covaxin. – AFP