MOSCOW: Akibat cemburu dengan kebahagiaan rakan sendiri, seorang wanita tergamak mencampak bayi yang baru berusia dua bulan dari tingkat 13 sebuah pangsapuri.
Lapor Daily Mail, suspek, Daria Shavelkina, 31, terlalu cemburu dengan ibu kepada tiga anak, Yaroslava Korolyova, 30, yang mempunyai suami yang penyayang serta keluarga yang bahagia.
Ketika hari kejadian, ibu mangsa yang merupakan konsultan kecantikan dikatakan mengunjungi rumah suspek untuk mengambil baju bayi terpakai.
Namun, ketika Yaroslava berpaling, Daria yang bekerja sebagai jurusolek mengambil bayi perempuan itu dan mencampaknya keluar tingkap.
Ibu mangsa bergegas turun dari tingkat 13, namun, mendapati bayinya sudah tidak bernyawa selepas jatuh atas permukaan keras di halaman rumah.
Pasukan penyiasat memaklumkan tiada sebarang pertengkaran berlaku antara mereka sebelum kejadian itu.
Mahkamah mendapati suspek membuat kenyataan palsu yang mendakwa dirinya menghidap skizofrenia.
Dia membuat pengakuan kononnya menghidap penyakit mental dan terdengar suara di dalam kepalanya yang mengarahkan dirinya untuk mencampak bayi itu.
Wanita itu dihukum penjara selama 17 tahun dan perlu membayar pampasan sebanyak 49,500 pound (RM287,000) kepada keluarga mangsa.