JAKARTA: Indonesia memulakan sesi persekolahan secara bersemuka bagi fasa pertama melibatkan pembukaan 226 sekolah hari ini.
Kompas.com melaporkan, ratusan sekolah akan mengadakan percubaan itu selepas melepasi proses penilaian.
Pegawai Perhubungan Awam Pendidikan Jakarta, Taga Radja Gah berkata, sebanyak 143 dari 308 sekolah menduduki penilaian yang dilakukan.
Sementara baki 83 sekolah lain katanya, sudah melaksanakan pembukaan sekolah sejak April lalu.
“Sebanyak 83 sekolah lain secara automatik dibuka bersama 143 sekolah, jadi bermakna keseluruhan adalah 226 sekolah yang akan menjalani sesi persekolahan secara bersemuka,” jelasnya.
Menurut Taga, pembukaan sekolah perlu mematuhi syarat seperti bilangan maksimum murid di dalam kelas adalah 50 peratus daripada kapasiti dan masa pembelajaran hanya berlangsung selama tiga hingga empat jam sehari.
Katanya, sesi percubaan itu juga hanya memperuntukkan masa selama tiga hari iaitu Isnin, Rabu dan Jumaat melibatkan aliran tingkatan dan darjah berbeza.










