LONDON: Satu laporan mengejutkan mendedahkan kira-kira 100,000 pelajar di Britain dikhuatiri menjadi ‘lost children of lockdown’ atau tercicir ketika perintah berkurung selepas pandemik Covid-19 menjejaskan sistem pendidikan.
Lapor Daily Mail, sebuah kumpulan pemikir mendapati sebahagian besar anak muda gagal mengikuti pembelajaran sepenuh masa selepas sesi persekolahan dibuka semula.
Analisis angka rasmi dijalankan oleh Centre for Social Justice (CSJ) mengenal pasti seramai 93,514 pelajar yang kebanyakannya gagal hadir ke sesi persekolahan antara bulan September dan Disember.
Jumlah itu dilaporkan melebihi kapasiti stadium Wembley.
Daripada jumlah itu, seramai 53,171 pelajar dari peringkat sekolah menengah manakala 34,405 pelajar sekolah rendah dan selebihnya terdiri daripada pelajar sekolah khas.
Dilaporkan, bilangan pelajar tidak hadir ke sekolah dengan lebih kerap berbanding mereka yang datang meningkat lebih 50 peratus pada tahun sebelumnya.
Peningkatan itu terutamanya melibatkan kenaikan membimbangkan di peringkat sekolah rendah ketika sekatan Covid-19 memudahkan pelajar terlepas daripada menghadiri sesi persekolahan.
Dikhuatiri lebih ramai pelajar akan dibuang sekolah atau tercicir pendidikan selepas sekatan Covid-19 dilaksanakan sejak setahun lalu.
Ia secara tidak langsung menjadikan pelajar yang tercicir persekolahan lebih senang terdedah dengan aktiviti tidak sihat.
Kajian itu juga menyatakan dana tiga bilion pound (RM17.3 bilion) yang diumumkan oleh kerajaan untuk pembiayaan pasca Covid-19 juga tidak akan membantu pelajar yang tidak bersekolah lagi.
Ketua Eksekutif CSJ, Andy Cook berpandangan apabila seseorang pelajar tercicir persekolahan maka masa depan mereka juga `hilang’ bersamanya.
“Inilah golongan `lost children of lockdown’. Beberapa pertubuhan amal yang bekerjasama dengan pelajar ini mengakui terdapat risiko mereka terjerat dalam aktiviti jenayah jalanan,” katanya.