Tangguh beri vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak - WHO - Utusan Malaysia

Tangguh beri vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak – WHO

TEDROS ADHANOM GHEBREYESUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa negara-negara kaya untuk menghentikan sementara rancangan pemberian vaksin Covid-19 kepada golongan kanak-kanak dan remaja. 

WHO memaklumkan, negara berkenaan sebaliknya perlu menyumbangkan bekalan vaksin Covid-19 kepada negara miskin yang amat memerlukan ketika ini.

Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus  menyuarakan kebimbangan itu dengan tindakan sejumlah negara kaya yang didapati memberi vaksin kepada kanak-kanak apabila kebanyakan negara miskin masih belum memulakan vaksinasi terhadap petugas kesihatan dan golongan berisiko.

Ghebreyesus juga mendesak negara-negara kaya untuk tampil menyumbangkan bekalan vaksin Covid-19 ke program Covax bagi memastikan penduduk yang memerlukan di semua negara mendapat perlindungan sewajarnya.

Malah, katanya, langkah itu juga secara tidak langsung dapat menggerakkan lagi inisiatif Covax. 

“Kami dapati sejumlah negara kaya telah membeli sebahagian besar bekalan vaksin dan kini golongan kurang berisiko diberikan vaksin.  

“Saya faham mengapa beberapa negara ingin beri vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak dan remaja namun saya menggesa mereka untuk mempertimbangkan semula langkah itu dan menyumbang bekalan itu ke Covax.

“Ini kerana di negara berpendapatan rendah, bekalan vaksin Covid-19 tidak mencukupi untuk melakukan vaksinasi terhadap petugas kesihatan dan hospital yang dibanjiri dengan pesakit yang memerlukan penjagaan dengan segera,” katanya.        

Berdasarkan data dikumpulkan oleh AFP, hampir 1.4 bilion dos vaksin Covid-19 diberikan di sekurang-kurangnya 210 negara dan wilayah di seluruh dunia. 

Sebanyak 44 peratus dos vaksin diberikan di negara-negara berpendapatan tinggi yang hanya mewakili 16 peratus penduduk dunia.

Dilaporkan, hanya 0.3 peratus dos vaksin diberikan di 29 negara berpendapatan rendah yang merangkumi sembilan peratus populasi dunia.

Dalam pada itu, Ghebreyesus berkata, WHO mengeluarkan amaran bahawa tahun kedua penularan pandemik Covid-19 dijangka jauh lebih buruk berbanding tahun pertama. – AFP/ AGENSI   

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×