BANGKOK: Rakyat Thailand yang tidak mahu menunggu giliran pengedaran vaksin Covid-19 daripada pihak kerajaan sanggup membuat pilihan mendapatkannya di luar negara.
Permintaan vaksin yang semakin meningkat ketika gelombang baharu melanda negara, menyebabkan peningkatan terhadap pakej pelancongan yang membolehkan pelanggan menyertai giliran vaksinasi di luar negara serta memilih pelbagai jenis vaksin.
Pengarah Urusan Unithai Trip, Rachphol Yamsaeng berkata, orang ramai tidak mahu menunggu terlalu lama di Thailand bagi mendapatkan vaksin.
“Sekiranya mereka mempunyai pilihan dan mampu mendapatkan vaksin, mereka lebih rela membayarnya daripada menunggu dalam tempoh yang tidak diketahui.
“Ratusan pelanggan sudah menghubungi kami, tetapi 80 peratus daripanya belum mempunyai visa AS,” katanya.
Unithai Trip merupakan antara agensi pelancongan di Thailand yang menawarkan pakej pelancongan vaksinasi Covid-19.
Syarikatnya baru-baru ini, mengiklankan perjalanan dari Thailand ke Amerika Syarikat dengan menawarkan percutian ke luar negara dengan sedikit kelainan.
Pakej bermula serendah AS$2,300 (RM9,500) bagi setiap individu dalam kumpulan lapan orang, manakala, AS$3,700 (RM15,300) setiap pelanggan bagi perjalanan melibatkan dua orang.
Pakej menawarkan perjalanan selama 10 hari ke Los Angeles, San Francisco dan Las Vegas serta merangkumi kemudahan hotel, kenderaan peribadi, bayaran masuk di tempat tumpuan pelancongan serta caj perkhidmatan bagi urusan kedutaan.
Pelanggan juga akan menerima suntikan vaksin satu dos Johnson&Johnson dan disahkan selepas mereka melakukan penerbangan dari Thailand.
Kebanyakan pelanggan syarikat itu terdiri daripada golongan berkeluarga yang sanggup mengeluarkan bayaran bagi melakukan pelancongan peribadi. – AGENSI









