SYDNEY: Ratusan ribu premis dan kediaman penduduk di Queensland, Australia dilaporkan terputus bekalan elektrik selepas satu kebakaran berlaku di stesen janakuasa.
Lapor BBC, beberapa syarikat sedang berusaha untuk memulihkan semula bekalan elektrik yang terputus di seluruh negeri tersebut.
Menurut CS Energy, kebakaran itu berlaku di stesen janakuasa berhampiran bandar Biloela kira-kira pukul 1.45 petang (waktu tempatan).
Energex dalam satu kenyataan memaklumkan ramai lagi pengguna masih belum mendapat semula bekalan elektrik.
Jelas syarikat itu, kira-kira 375,000 pelanggan terjejas akibat ketiadaan bekalan elektrik.
Ia turut melibatkan sekolah, kediaman, dan premis perniagaan di sekitar Queensland.
Dilaporkan, lapangan terbang dan lampu isyarat di jalan raya di bandar Brisbane juga gagal berfungsi akibat gangguan bekalan elektrik.
Dalam pada itu, CS Energy menerusi kenyataan memaklumkan, setakat ini, kira-kira 250,000 pelanggan sudah menerima semula bekalan elektrik. – AGENSI










