MADRID: Seorang lelaki berusia 39 tahun ditemukan maut di dalam sebuah patung dinosaur gergasi di Barcelona, Sepanyol.
Lapor The Guardian, mayat lelaki itu dijumpai oleh dua pejalan kaki selepas mereka terhidu bau busuk daripada patung dinosaur yang terletak di pinggir bandar Santa Coloma de Gramenet pada Sabtu lalu.
Kemudian, mereka menemukan mayat lelaki tersebut di dalam kaki patung dinosaur jenis Stegosaurus.
Polis di Catalonia giat menyiasat kematian lelaki itu yang dipercayai terperangkap di dalam patung dinosaur tersebut ketika cuba mengambil semula telefon bimbitnya yang terjatuh.
Seorang jurucakap dari polis memberitahu kes kematian lelaki berusia 39 tahun itu tidak dianggap sebagai mencurigakan.
“Mayat lelaki itu ditemukan di dalam kaki patung dinosaur dan merupakan kematian yang tidak disengajakan malah polis tidak mengesan sebarang keganasan berlaku.
“Lelaki itu masuk ke dalam kaki patung dinosaur dan terperangkap ketika cuba mendapatkan semula telefon bimbit yang terjatuh,” katanya.
Polis kini menunggu hasil bedah siasat untuk menentukan punca kematian mangsa.