`Kami tidak akan tinggalkan Gaza' - Utusan Malaysia

`Kami tidak akan tinggalkan Gaza’

PENDUDUK Palestin memeriksa rumah mereka yang musnah dalam serangan udara tentera Israel di Rafah di selatan Semenanjung Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY: Puluhan ribu penduduk Palestin yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka di Gaza akibat serangan tentera Israel, kini mula kembali ke kediaman masing-masing biarpun kebanyakannya musnah sehingga tidak boleh diduduki

Mereka pulang ke rumah masing-masing untuk memeriksa kerosakan dialami dalam siri pengeboman berterusan rejim zionis terhadap Semenanjung Gaza selama 11 hari. 

Hampir sebahagian besar Gaza terjejas dengan serangan udara tentera Israel dengan bangunan tinggi runtuh dan kenderaan diparkir di atas permukaan jalan yang berturap untuk mengelakkan kawah.

Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian Palestin (UNRWA) memaklumkan sebahagian besar daripada jumlah 66,000 penduduk Palestin yang berlindung di sekolah semasa pertempuran itu kini dalam proses pulang ke rumah untuk menilai skala kerosakan.

Seorang pegawai Palestin berkata, penilaian awal menunjukkan sekurang-kurangnya 2,000 unit rumah musnah dan 15,000 lagi unit mengalami kerosakan dalam keganasan terbaharu.

Ketika ahli-ahli keluarga berusaha menyelamatkan beberapa harta benda, anggota penyelamat menarik keluar 10 mangsa dan lima mayat penduduk yang terperangkap dalam serpihan runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan udara Israel.

Siri serangan tentera Zionis di Gaza sejak 10 Mei lalu menyaksikan sekurang-kurangnya 248 penduduk Palestin maut termasuk 66 kanak-kanak dan lebih 1,900 cedera. 

Di bandar Gaza dilaporkan golongan remaja mencari barang yang hilang di bawah timbunan serpihan runtuhan dan meletakkannya ke dalam trak atau di atas keldai.

Di hospital Shifa pula, ramai mangsa yang cedera dikunjungi pelawat buat pertama kali dalam beberapa hari selepas serangan udara tentera Israel di Gaza. 

Beberapa penduduk berkumpul mengerumuni seorang wanita yang mengalami cedera luka terbakar di mukanya dengan rod logam pembedahan terkeluar dari pergelangan kaki kirinya yang ketika ini menerima rawatan di sebuah wad pemulihan di hospital tersebut.  

Mona Amin, 47, berada di rumahnya yang terletak di bandar utara Beit Lahia ketika peluru berpandu dilancarkan oleh rejim zionis menembusi unit rumahnya dan meletup di kediaman jirannya.

“Ketika itu, saya sedang tidur lena,” katanya dengan suara yang perlahan.

Menurut Mona, serangan udara itu membunuh suami dan tiga orang anaknya.

Ujar Mona, tiga orang anaknya yang maut itu berusia 25, 22 dan 19 tahun.

“Anak sulung saya yang berusia 25 tahun itu mengandung, saya kehilangan cucu yang tidak sempat dibelai dan dikasihi.

“Walau apa pun yang berlaku, kami tidak akan tinggalkan tanah kami, tidak akan tinggalkan Gaza biarpun rumah kami hancur,” tegasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.