Belia India guna teknologi redakan krisis Covid-19 - Utusan Malaysia

Belia India guna teknologi redakan krisis Covid-19

KEADAAN sebuah pusat kuarantin di New Delhi. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUMBAI: Selepas selesai mengulang kaji pelajaran, seorang pelajar sekolah dari India, Swadha Prasad kini tertumpu dalam usaha membantu mencari bekalan oksigen, ubat-ubatan dan katil hospital bagi pesakit Covid-19.

Usaha ini di tengah India berdepan dengan gelombang kedua pandemik Covid-19 yang semakin parah.

Ketika kerajaan berusaha menangani wabak tersebut, sekumpulan belia India pula mewujudkan sebuah aplikasi yang bertujuan menyampaikan maklumat bantuan, menyalurkan bekalan penting dan menggunakan media sosial untuk mengagihkan sumber terus kepada golongan memerlukan.

Swadha bekerja dengan puluhan sukarelawan yang berusia antara 14 dan 19 tahun dibawah organisasi dipimpin oleh belia, UNCUT.

UNCUT membangunkan pangkalan data secara dalam talian yang mengandungi maklumat mengenai sumber perubatan terdapat di seluruh negara.    

Ia merupakan operasi 24 jam dengan golongan remaja hanya perlu menggunakan telefon bimbit untuk mengesahkan bekalan sedia ada, mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa dan menerima panggilan daripada ahli keluarga yang memerlukan bantuan.   

“Ada dalam kalangan kami yang melakukan syif tengah malam sehingga pagi kerana panggilan tidak berhenti pada 3 pagi.

“Ia agak memenatkan namun jika saya dapat membantu menyelamatkan nyawa, sudah tentu saya tidak akan menolaknya,” kata Swadha yang berusia 17 tahun. 

Swadha yang berasal dari Mumbai, bekerja selama 14 jam dari sebelum tengah hari hingga satu pagi.

Menurut Swadha, menerusi usaha itu, nyawa berjaya diselamatkan, dengan merujuk satu insiden yang mana pasukannya mendapatkan bekalan oksigen untuk seorang pesakit Covid-19 muda pada tengah malam setelah terpaksa menunggu selama lebih dua jam.   

“Ia bukan mengenai penyaluran maklumat semata-mata tetapi kadang kala orang hanya perlu tahu mereka bukan bersendirian dalam menghadapi krisis ini,” katanya.  

 

‘Adiwira oksigen’

Meskipun dua pertiga daripada jumlah 1.3 bilion populasi penduduk di India berada di bawah usia 35 tahun, golongan belia tidak pernah diminta untuk memikul tanggungjawab yang begitu besar.

Ketika krisis Covid-19 di India semakin buruk sehingga tapak pembakaran mayat tiada ruang untuk menampung mayat pandemik dan pesakit meninggal dunia di parkir hospital, ramai yang tampil menjadi sukarelawan untuk membantu.

Seorang lelaki dari kawasan setinggan di Mumbai, Shanawaz Shaikh berjaya mengagihkan silinder oksigen secara percuma kepada ribuan orang.

Digelar sebagai ‘oxygen man’, lelaki berusia 32 tahun itu menjual kenderaan utiliti sukan (SUV) yang digemarinya pada Jun tahun lalu, hanya untuk mengumpul dana bagi memulakan inisiatif  itu selepas rakan sepupunya yang hamil meninggal dunia ketika cuba dimasukkan ke hospital.   

“Wanita itu meninggal dunia kerana dia tidak mendapat bekalan oksigen tepat pada waktunya,” katanya.

Dalam pada itu, Shanawaz memberitahu, dia tidak pernah menyangka akan menerima begitu banyak permintaan setahun kemudian.  

“Pada mulanya, kami biasanya menerima kira-kira 40 panggilan sehari pada tahun lalu, sekarang lebih 500 panggilan,” katanya. 

 

Kes melebihi 20 juta 

Jumlah kes Covid-19 di India kini sudah melepasi 20 juta ketika pandemik itu terus melumpuhkan sistem kesihatan awam negara itu.

Berdasarkan data dari Kementerian Kesihatan, kes jangkitan melonjak kepada 357,229 kes dengan menjadikan jumlah keseluruhannya kini mencecah 20.3 juta dalam tempoh 24 jam.

Kes kematian akibat wabak Covid-19 pula meningkat sebanyak 3,449 kes sekaligus menjadikan jumlah korban 222,408 kes. – AFP    

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya