LONDON: Universiti Oxford terpaksa menghentikan satu ujian klinikal vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca yang dijalankan terhadap kanak-kanak dan remaja di United Kingdom (UK).
Langkah itu dibuat bagi mengumpul lebih banyak data berkaitan isu darah beku dilaporkan dalam kalangan orang dewasa yang menerima suntikan tersebut.
Pengumuman itu dianggap sebagai tamparan hebat kepada vaksin tersebut selepas beberapa negara menghentikan penggunaannya berikutan laporan berlakunya isu darah beku selepas menerima suntikan vaksin.
Universiti Oxford bagaimanapun menegaskan tidak timbul kebimbangan mengenai keselamatan dalam ujian klinikal tersebut.
Tambah universiti tersebut, pihaknya akan menunggu garis panduan daripada badan pengawal selia ubat-ubatan UK sebelum menjalankan vaksinasi.
Jelasnya, pada Februari lalu, pihaknya merancang untuk mendaftarkan sebanyak 300 sukarelawan berusia antara 6 hingga 17 tahun yang berpangkalan di UK sebagai sebahagian daripada kajian tersebut.
Agensi Perubatan Eropah (EMA) ketika ini sedang meneliti laporan kes darah beku yang dikenali sebagai cerebral venous sinus thrombosis (CVST) selepas suntikan vaksin AstraZeneca diberikan.
EMA dijangka mengumumkan hasil penemuan itu dalam masa terdekat.
Seorang pegawai EMA mendakwa wujudnya perkaitan jelas antara vaksin Covid-19 dibangunkan AstraZeneca dan CVST meskipun punca sebenar darah beku masih tidak diketahui.
Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan tiada sebab untuk mengubah penilaiannya bahawa manfaat vaksin AstraZeneca terhadap virus melebihi sebarang risiko.
Pengarah Pengawalan dan Prakelayakan WHO, Rogerio Gaspar berkata, agensi itu ketika ini sedang meneliti data terbaharu susulan laporan mengenai isu darah beku dalam kalangan individu yang sudah menerima vaksin terbabit.
Menurut Gaspar, WHO menjangkakan memperoleh penilaian terbaharu dalam tempoh terdekat.
Beliau bagaimanapun tidak percaya akan wujudnya sebab untuk mengubah garis panduan bahawa manfaat vaksin tersebut melebihi sebarang risiko.
“Kajian yang ada ketika ini melalui pertimbangan pakar perubatan adalah penilaian manfaat-risiko bagi vaksin masih positif.
“Kami terus menyaksikan beberapa peristiwa jarang berlaku mengaitkan kejadian penurunan platelet darah (thrombocytopenia) dan darah beku pada pembuluh darah (tromboemboli) serta beberapa lagi kes yang kini dikategorikan berdasarkan diagnostik, populasi dan pengagihan dalam kalangan penduduk,” katanya. – REUTERS/AGENSI










