KAHERAH: Pihak Berkuasa Terusan Suez (SCA) memaklumkan pihaknya hampir menyelesaikan tunggakan penghantaran barangan dagangan selepas kapal kontena gergasi Ever Given berjaya dialihkan.
Pengerusi SCA, Osama Rabie berkata, sebanyak 61 kapal masih menunggu giliran untuk melalui laluan itu, sekali gus mencatatkan pengurangan bilangan kapal menunggu sebanyak 422 buah.
Kira-kira 80 kapal melintasi terusan itu semalam dari kedua-dua arah termasuk kapal induk Amerika Syarikat, kapal tangki gas asli dan kapal tangki minyak.
Isnin lalu, kapal kontena Ever Given berjaya dialihkan dan diapungkan kembali oleh pasukan penyelamat setelah hampir seminggu tersekat di laluan perdagangan paling penting di dunia.
Insiden itu memberi tekanan kepada rantaian bekalan global berikutan wabak Covid-19 kerana terusan itu merupakan saluran untuk sekitar 12 peratus perdagangan global.
Sejak laluan trafik itu tersekat, lebih 450 kapal terkandas dan usaha menyelamatkan kapal kontena tersebut akhirnya berjaya setelah pasukan penyelamat menggali dan membuang 27,000 meter padu pasir.
Firma perkhidmatan terusan, Leth Agencies berkata, sebanyak 357 kapal berjaya melalui terusan itu sejak semalam. -AGENSI










