SOUTH CAROLINA: Seorang lelaki yang dipercayai berada dibawah pengaruh dadah ditahan polis kerana berjalan dalam keadaan bogel dalam satu insiden, baru-baru ini.
Lapor Daily Mail, Michael Boatman, 41, dari South Carolina ditemukan polis tanpa pakaian pada Khamis lalu selepas pukul 1 pagi, ketika dia berjalan di New Cut Road di Spartanburg dengan tangannya memegang sebatang rokok ganja.
Berdasarkan laporan The Smoking Gun, ketika disoal oleh Timbalan Sherif Spartanburg di lokasi kejadian, Boatman mendakwa dia berjalan bogel bagi menebus dosa kerana menipu isterinya.
Boatman juga meminta kebenaran timbalan sherif untuk melengkapkan perjalanannya namun tidak dibenarkan.
Menurut dokumen penahanan, suspek juga menyatakan dia sanggup dipenjarakan atas perbuatannya.
Boatman turut mengaku mengambil dadah jenis methamphetamine sebelum memulakan perjalanan ‘tebus dosa’ tersebut.
Dilaporkan, lelaki itu cuba melarikan diri daripada polis namun berjaya ditahan.
Selepas dimasukkan ke dalam kereta peronda polis, Boatman menyatakan akan cuba melepaskan diri daripada penjara.
Boatman ditahan di penjara atas beberapa tuduhan termasuk berkelakuan tidak senonoh dan memiliki ganja.
Dilaporkan, lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau termasuk tiga kes keganasan rumah tangga.










