Protes cat merah di Myanmar - Utusan Malaysia

Protes cat merah di Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Kumpulan aktivis Myanmar menyimbah cat merah di jalanan di sekitar beberapa bandar utama sebagai protes berterusan terhadap tindakan kekerasan yang dilakukan oleh pasukan keselamatan negara ini.

Orang ramai juga mewarnakan tangan mereka dengan cat merah dan meninggalkan cap tangan di beberapa perhentian bas.

Tunjuk perasaan yang diberi nama ‘protes berdarah’ itu merupakan antara ‘kaedah terbaharu’ penyokong demokrasi menzahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap rampasan kuasa yang berlaku sejak Februari lalu.

Antara slogan yang digunakan dalam tunjuk perasaan itu termasuk mendakwa junta menyalahgunakan kuasa demi melindungi Ketua Tentera Myanmar, Min Aung Hlaing dan mendesak supaya tentera tidak menembak orang awam.

Di negeri Karen, golongan belia menyembur cat merah di atas jalan dan melukis simbol hormat tiga jari.

Beberapa perhimpunan turut diadakan di Mandalay dan negeri Kachin.

Di bandar Dawei, ratusan penduduk melakukan demonstrasi aman sambil membawa bunga ‘padauk’ sebagai simbol festival air tahun baharu Myanmar yang dijadualkan bermula minggu depan.

Sementara itu, kutipan derma secara dalam talian yang dilakukan oleh kumpulan ahli Parlimen mewakili Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) sudah hampir mencecah AS$10,000 (RM41,315).

Dana tersebut didakwa akan digunakan untuk ‘menghancurkan rejim diktator junta’ dan mengembalikan demokrasi di negara ini. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×