Pelan pemulihan ekonomi Thailand tangguh lagi - Utusan Malaysia

Pelan pemulihan ekonomi Thailand tangguh lagi

PENDUDUK menunggu untuk melakukan ujian saringan Covid-19 di sebuah pusat kesihatan di Thonglor, Bangkok ketika Thailand berdepan gelombang baharu jangkitan dikaitkan dengan pusat hiburan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Kemampuan Thailand dalam mengendalikan pandemik Covid-19 kini berdepan dengan cabaran yang sangat getir apabila diuji dengan kehadiran gelombang ketiga baru-baru ini.       

Menurut Murray Hunter dalam analisis yang disiarkan di portal Euroasia Review, peningkatan kes Covid-19 dan ketidakstabilan politik yang berlaku di Thailand terus mengheret segala usaha untuk memulihkan semula ekonomi negara itu.

Kata penganalisis, perkara itu terbukti apabila kerajaan Thailand baru-baru ini mengkaji semula pertumbuhan ekonomi daripada 3.5 hingga 4.5 peratus kepada 2.3 hingga 3.5 peratus selepas ekonomi negara menguncup kepada 4.2 peratus pada suku terakhir 2020.

Jelas beliau, Thailand kini berdepan kemelesetan ekonomi terburuk sejak krisis kewangan Asia pada 1997.

Katanya, harapan untuk memulihkan ekonomi negara terjejas disebabkan penularan gelombang baharu pandemik yang melanda di Bangkok dan sekitar kawasan pinggir bandar.  

“Penularan wabak ini menjejaskan pelancongan Thailand dengan hampir dua juta pekerja industri berkenaan ketika ini menganggur.

“Sekiranya, situasi ini berlanjutan, maka kerajaan Thailand perlu memperuntukkan jumlah dana kebajikan yang besar ketika hutang negara melebihi 50 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Gelombang baharu Covid-19 dikaitkan dengan pusat hiburan di Bangkok dan Chonburi, kira-kira 85 kilometer (km) tenggara Bangkok bermula pada awal bulan ini.

“Kebanyakan kes Covid-19 melibatkan warga pekerja yang mengunjungi pusat hiburan dan kemudian merebak kepada ahli keluarga mereka. 

“Situasi ini menjadi lebih serius apabila individu terbabit melawat ahli keluarga mereka di negeri-negeri lain untuk menyambut pesta Qing Ming,” jelasnya.

Katanya, Bangkok, Samut, Prakan, Pathum Thani, Nonthaburi dan Chonburi menjadi pusat penyebaran wabak Covid-19 serta merebak ke 61 wilayah lain.

Hunter berkata, meskipun jumlah kes harian Covid-19 meningkat kepada lebih 600 kes, kerajaan Thailand seolah-olah tidak berhasrat melaksanakan sekatan pergerakan dalam negeri menjelang pesta Songkran.

“Ia secara tidak langsung menunjukkan kerajaan pusat dan pentadbiran wilayah mempunyai perbezaan ketika mengendalikan pandemik Covid-19. 

“Beberapa wilayah antaranya Chiang Mai, Phuket, Nan, Songkhla dan Trang mengarahkan penduduk dari Bangkok atau rantau lain perlu menjalankan kuarantin selama 14 hari atau melakukan ujian saringan Covid-19 apabila tiba.

“Pendekatan berbeza menyebabkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai serta mengundang kritikan terhadap pentadbiran negara itu,” katanya.

Tambah Hunter, kerajaan dibawah pimpinan Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha mengambil tindakan drastik dalam mencari pendekatan sesuai untuk mengatasi gelombang ketiga jangkitan Covid-19.   

Malah, katanya, sekiranya kerajaan gagal menguruskan isu tersebut dengan efektif, Thailand berkemungkinan menyertai negara jiran lain dalam melaksanakan perintah berkurung sehingga mencapai kawalan imuniti menerusi program vaksinasi secara besar-besaran.  

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya