fbpx

Gencatan senjata selama sebulan di Myanmar

PENUNJUK PERASAAN berkumpul dan membakar timbunan bahan di tengah jalan ketika protes di pekan Insein, Yangon, baru-baru ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Junta tentera mengumumkan pihaknya akan melaksanakan gencatan senjata sebelah pihak selama sebulan di Myanmar.

Namun, dilaporkan gencatan senjata itu dikecualikan sekiranya terdapat sebarang tindakan yang menganggu keselamatan dan operasi pentadbiran kerajaan.

Ia secara tidak langsung merujuk kepada protes besar-besaran rakyat yang diadakan di seluruh negara bagi membantah rampasan kuasa yang berlaku pada Februari lalu.  

Pengumuman itu dibuat selepas pertempuran dengan sekurang-kurangnya dua etnik minoriti organisasi gerila yang bertapak di kawasan masing-masing di sepanjang sempadan.  

Dilaporkan, setakat ini, kumpulan etnik minoriti itu masih belum memberi sebarang maklum balas berhubung pengumuman gencatan senjata berkenaan.  

Beberapa kumpulan termasuk Kachin di utara, Karen di timur dan Tentera Arakan Rakhines di barat Myanmar secara terbuka mengecam rampasan kuasa dan menegaskan akan mempertahankan penunjuk perasaan di wilayah yang dikuasai mereka. 

Berdasarkan saluran berita tempatan, The 74 Media dan Bhamo Platform, Tentera Kemerdekaan Kachin (KIA) menyerang sebuah balai polis di pekan Shwegu baru-baru ini.

Penyerang dilaporkan merampas senjata dan bekalan serta mencederakan seorang pegawai polis.  

Dalam pada itu, media tempatan Irrawaddy melaporkan pemimpin awam, Aung San Suu Kyi telah dihadapkan ke mahkamah.

Pemimpin Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) itu berdepan sejumlah besar pertuduhan jenayah dan tentera memberitahu bahawa pihaknya sedang menyiasat tuduhan rasuah lebih serius terhadapnya.

Dalam pada itu, Perwakilan Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zhang Jun berkata, China mendesak `peralihan kuasa secara demokratik’ dilaksanakan segera di Myanmar.   

Zhang Jun dalam satu mesyuarat Majlis Keselamatan PBB berkata, China bagaimanapun menolak pelaksanaan sekatan untuk menangani konflik di negara tersebut.  

Wakil PBB ke Myanmar pula meminta Majlis Keselamatan mengambil tindakan tegas bagi menangani krisis negara Asia itu, dengan memberi amaran mengenai risiko tercetusnya perang saudara ketika junta tentera memberi tekanan terhadap protes pro-demokrasi. – AP/AGENSI