Dua maut naik kereta Tesla - Utusan Malaysia

Dua maut naik kereta Tesla

KERETA elektrik Tesla Model S merempuh pokok di Carlton Woods sebelum terbakar dengan penumpangnya masih berada dalam kenderaan itu. - KPRC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HOUSTON: Dua lelaki maut selepas kereta elektrik keluaran Tesla yang dinaiki mereka dan dipercayai diletakkan dalam mod pandu sendiri merempuh sebatang pokok di Houston sebelum terbakar.

Lapor Daily Mail, kereta Tesla Model S merempuh pokok di Carlton Woods kira-kira pukul 11.25 malam Sabtu lalu sebelum terbakar dengan penumpangnya masih berada dalam kenderaan tersebut. 

Konstabel Harris County Presint 4, Mark Herman berkata, siasatan mendapati tiada sesiapa memandu kereta tersebut ketika kemalangan itu berlaku. 

Katanya, laporan menunjukkan seorang lelaki berada di tempat duduk penumpang bahagian hadapan dan individu kedua pula duduk di belakang.    

Polis memberitahu stesen televisyen, KPRC bahawa kereta bernilai AS$80,000 (RM330,490) itu bergerak pada kelajuan tinggi ketika ia gagal membelok untuk melepasi jalan mati, lalu hilang kawalan dan terbabas.  

Pasukan bomba menggunakan 32,000 gelen air dan mengambil masa kira-kira empat jam untuk memadamkan kebakaran pada kereta tersebut susulan baterinya masih berfungsi.

Malah, pihak berkuasa terpaksa menghubungi Tesla untuk bertanya cara memadamkan api dalam bateri kereta itu.  

New York Times melaporkan Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuh Raya Kebangsaan (NHTSA) kini giat menyiasat 23 kemalangan kereta Tesla yang dipercayai melibatkan mod pandu sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya