Tiga juta pelitup muka dibuang sehari - Utusan Malaysia

Tiga juta pelitup muka dibuang sehari

PELITUP muka yang tidak dilupuskan dengan betul akan mendatangkan risiko besar kepada alam sekitar. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENMARK: Sebanyak tiga juta pelitup muka dibuang setiap minit berikutan penggunaan besar-besaran semasa pandemik Covid-19.  

Lapor Daily Mail, pakar memberi amaran situasi itu akan menyebabkan masalah kronik kepada alam sekitar. 

Pelitup muka boleh mendatangkan risiko lebih besar kepada alam sekitar berbanding beg plastik pengangkut barang kerana secara fakta tiada kaedah untuk mengitar semula bahan tersebut. 

Menerusi artikel yang disiarkan oleh Universiti Southern Denmark, pakar memberi amaran mengenai pelitup muka yang dibuang dalam kuantiti yang banyak boleh menjadi ‘bom jangka’. 

Jelasnya, membuang alat itu di merata-rata tempat menyebabkan penyebaran mikro fiber berbahaya serta membawa bahan kimia berbahaya kepada alam sekitar. 

Malah, katanya, pelitup muka sangat rumit untuk dikitar semula kerana mengandungi banyak bahan berbeza seperti pelitup muka jenis perubatan yang terdiri daripada lapisan bahan tidak menyerap seperti poliester. 

“Dengan bilangan laporan yang semakin meningkat terhadap pelupusan pelitup muka yang tidak betul, sudah tiba masanya untuk mengenal pasti potensi terhadap ancaman alam sekitar dan mengelakkan ia menjadi masalah plastik pada masa akan datang,” katanya. 

Menurut beliau, penghasilan pelitup muka sekarang sama banyak seperti botol plastik dengan sekitar 43 bilion dihasilkan dalam sebulan. 

Namun, disebabkan usaha gigih daripada aktivis kempen alam sekitar untuk meningkatkan kitar semula selama bertahun-tahun, satu daripada empat botol kini boleh dikitar semula sepenuhnya, sebaliknya, pelitup muka tidak boleh dikitar semula. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN