fbpx

Tentera Myanmar kepung penunjuk perasaan

YANGON: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa supaya pihak berkuasa Myanmar membebaskan ratusan penunjuk perasaan yang terperangkap di sebuah blok kediaman akibat dikepung pasukan tentera.

Tentera negara ini didakwa mengepung kira-kira 200 penunjuk perasaan tersebut sejak pagi semalam.

Pejabat Hak Asasi Manusia PBB memaklumkan kesemua penunjuk perasaan itu mengadakan protes aman sebelum dikepung tentera.

Kumpulan tersebut dilarang daripada meninggalkan blok kediaman terbabit yang terletak di bandar Sanchaung, Yangon.

Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric berkata, Antonio Guterres menggesa agar kesemua penunjuk perasaan tersebut dibebaskan dengan selamat tanpa melibatkan sebarang keganasan.

“Kebanyakan yang terperangkap dalam blok tersebut adalah kaum wanita yang sebelum itu berarak sempena sambutan Hari Wanita Sedunia,” katanya.

Selain itu, Kedutaan Britain di Myanmar juga mendesak supaya kesemua penunjuk perasaan itu dibebaskan segera. – AGENSI

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!