Sedekad konflik Syria: Musuh merata-rata - Utusan Malaysia

Sedekad konflik Syria: Musuh merata-rata

Tanpa dokumen yang lengkap, jangan harap untuk menyeberang masuk ke utara Syria apatah lagi dalam keadaan sekarang, zaman covid-19, segalanya ketat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERADA di kawasan konflik perang saudara seperti di utara Syria sentiasa berisiko. Namun jika dibandingkan dengan kedatangan pertama saya pada November 2016, keadaan sekarang adalah jauh lebih baik dan banyak sekali perubahan terutama di sekitar bandar Azaz di utara Aleppo, bersempadan dengan Kilis di Turki.

Ketika itu, di sepanjang jalan penuh dengan khemah pelarian. Kini, keadaan beransur-ansur menampakkan pembangunan semula, pusat-pusat pemeriksaan tentera di sepanjang jalan oleh tentera tempatan dan Turki juga semakin kurang.

Ini menjadi petanda bahawa ketegangan di kawasan berkenaan semakin kendur namun begitu setiap pergerakan perlu berhati-hati kerana begitu banyak mata yang memerhati. Bahkan untuk menyeberang sempadan dari Kilis ke Azaz, boleh tahan juga proses dokumentasi.

Menyentuh mengenai wabak Covid-19 utara Syria khususnya Idlib adalah kawasan yang paling berisiko kerana kebanjiran pelarian yang kini telah mencecah empat juta orang.
Sepanjang Februari 2021, lebih 227 kematian dan 11,515 kes jangkitan Covid-19 dilaporkan di Idlib, utara Syria. Ia musuh yang tersembunyi dan berada di merata-rata.

Meskipun pelbagai NGO dan pihak berkuasa tempatan melakukan pelbagai usaha dan kempen untuk memupuk kesedaran terhadap wabak ini seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan mencuci tangan dengan pembasmi kuman, ia sekadar peringatan dan teori kerana pelaksanaannya bukan mudah.

Jika tempat tinggal pun masih dalam khemah tanpa kemudahan asas, perkara itu tidak menjadi keutamaan. Di sini, mereka perlu bertarung demi kelangsungan hidup dan segala apa yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) untuk memutuskan rangkaian Covid-19 atau lebih dikenali pelarian sebagai korona, sukar untuk mereka laksanakan.

Sebahagian besar pelarian masih bergantung dengan ihsan masyarakat antarabangsa.Dalam keadaan yang semakin mencabar, Covid-19 yang menjadi isu global turut memberi kesan ketara terhadap negara penyumbang kepada pelarian Syria kerana semuanya menerima kesan ekonomi. Britain antara negara penyumbang utama bantuan kemanusiaan kepada mangsa konflik Syria dilapor bercadang untuk membuat potongan sehingga 67 peratus.

Keputusan berkenaan diambil selepas ekonominya terjejas teruk akibat wabak Covid-19.

“Kesan pandemik terhadap ekonomi Britain telah memaksa kira mengambil keputusan sukar tetapi perlu termasuk mengurangkan jumlah keseluruhan perbelanjaan buat sementara waktu” kata jurucakap kerajaan yang dipetik BBC.

Menurut Pejabat Luar Negara, perkara berkenaan masih belum diputuskan. Begitu juga dengan NGO, keadaan yang berlaku turut memberi kesan kepada kutipan dana yang diusahakan.
Ia menjadi satu isu yang membimbangkan di utara Syria kerana dari masa ke masa, ada sahaja pertambahan pelarian baru ke situ. Inilah cabaran besar kepada kami, petugas kemanusiaan untuk mencari dana bagi memastikan mereka yang menjadi mangsa konflik tidak mati kelaparan.

Cukuplah sedekad mereka hidup sengsara penuh trauma dengan macam-macam bermula dari kezaliman, pembunuhan beramai-ramai oleh tentera rejim Bashar al Assad serta Rusia, keganasan tentera IS (Negara Islam) atau Daish, konflik Kurdish, sengketa sesama sendiri dan campur tangan kuasa asing ke atas tanah air rakyat Syria.

Pengalaman berada di lapangan tidak sama dengan tontonan melalui media.

Di sini kami berinteraksi secara langsung dengan mereka. Segala isi hati diluahkan dan ada kalanya diri sendiri rasa tidak mampu untuk mendengar kisah-kisah derita.

Jalan cerita yang disampaikan berbeza tetapi skopnya tidak akan lari dari kepayahan, kesengsaraan, penderitaan dan kematian.

Enam tahun berulang alik di lapangan, tiada satu pun cerita indah daripada mereka sepanjang hidup dalam khemah. Dalam sesetengah keadaan kami sendiri menjadi mangsa untuk mereka melepaskan kemarahan.

Segalanya perlu ditangani dengan penuh hikmah kerana dari sudut emosi dan psikologi mereka begitu terkesan dengan apa yang dilalui. Ada ketika kami ditengking, dimarah dan hampir mencetuskan ketegangan.

Razali Awang adalah petugas Syria Care yang ketika ini berada di Syria

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya