TOKYO: Satu gempa bumi berukuran 9.0 skala Richter melanda perairan timur laut Jepun di wilayah Fukushima pada 11 Mac 2011 dan gempa kuat itu mencetuskan ombak tsunami yang meragut lebih 18,000 nyawa.
Tsunami itu memusnahkan lebih 120,000 bangunan dan memaksa 450,000 penduduk tinggal di pusat perlindungan sementara.
Kos kerosakan infrastruktur yang disebabkan oleh bencana alam itu dianggarkan sebanyak AS$210 bilion (RM864.8 bilion), sekali gus disifatkan sebagai ‘bencana paling mahal di Jepun’.
Ombak tsunami yang melanda juga menyebabkan operasi loji kuasa nuklear Fukushima Daichii tlumpuh, mengakibatkan puluhan ribu penduduk terpaksa dipindahkan dan menjadikan wilayah tersebut seperti ‘pekan hantu’.
Sempena ulang tahun ke-10 bencana itu berlaku, berikut adalah cerita tentang pengalaman dan harapan mangsa untuk terus bangkit.
AKI SATO
Aki Sato bekerja di sebuah firma guaman di Tokyo ketika penduduk di Fukushima yang terletak kira-kira 240 kilometer dari bandar raya itu terpaksa melarikan diri kerana pencemaran radiasi nuklear.
Namun, keadaan itu cukup membimbangkan wanita tersebut kerana neneknya tinggal berhampiran kawasan terlibat dan dia mengambil masa selama dua hari untuk mengetahui neneknya selamat dan berlindung di sebuah gimnasium.
“Pada mulanya, saya tidak tahu apa yang perlu dibuat dan pada 2015, saya datang ke Okuma dan menemui sesuatu yang saya boleh lakukan iaitu membantu kerja-kerja pemulihan komuniti di pekan berkenaan.
“Ketika itu, pekan tersebut sudah tidak berpenghuni sejak empat tahun lalu dan hari ini, hanya 300 daripada 11,500 penduduknya yang pulang ke rumah masing-masing sejak arahan pemindahan ditarik balik pada 2019,” katanya kepada The Guardian.
Sato memberitahu, penduduk di pekan tersebut menzahirkan rasa rindu dengan para sahabat dan jiran yang tinggal bersama sebelum bencana itu berlaku.
Sehubungan itu, wanita tersebut menganjurkan festival muzik dan tarian tradisional untuk menghimpunkan mereka semula.
“Tidak kira apa jua acara atau program yang dijalankan, asalkan penduduk Okuma dapat berkumpul semula dan melakukan semua perkara yang mereka sering buat sebelum ini,” katanya.
MUNEO KANNO
Apabila penduduk di pekan Iitate diarahkan berpindah akibat radiasi nuklear, Muneo Kanno terus memikirkan tentang haiwan ternakannya.
Pencemaran yang berlaku memaksa puluhan ribu penduduk yang tinggal dalam radius 20 kilometer dari tapak loji berpindah ke tempat lain.
Namun, kebanyakan 6,000 penduduk Iitate enggan berpindah dan meyakinkan kerajaan tempat tinggal mereka terletak di luar zon pemindahan.
Namun, mereka terpaksa mengalah apabila pihak berkuasa Jepun mengarahkan pemindahan beberapa minggu lalu setelah pakar menemukan titik radiasi di pekan berkenaan.
Kanno dan isterinya tinggal sementara di pusat perlindungan dan pulang ke Iitate sekali sekala dan dari situ dia mula menanam padi.
“Saya fikir, adalah lebih baik mulakan penanaman padi untuk wujudkan semula alam semula jadi yang musnah akibat radiasi,” ujarnya.
Kanno bekerjasama dengan pengkaji universiti untuk mengukur tahap radiasi secara berkala bagi memastikan padi yang ditanamnya selamat untuk dimakan.
Pada 2019, usaha lelaki berusia 70 tahun itu berbaloi apabila padi yang diusahakannya dihantar ke wilayah lain untuk dijadikan arak Jepun atau dikenali sebagai sake dalam edisi terhad.
TOKUJI ABE
Seorang penternak tiram, Tokuji Abe berada di tengah lautan di atas bot ketika gempa melanda Jepun. Dia hanya mengetahui apa yang berlaku menerusi radio.
Sekembali Abe ke daratan, lelaki itu mendapati rumahnya ‘hilang ditelan tsunami’.
“Saya terkejut melihat rumah yang keluarga saya duduki selama ini sudah hilang dan saya sangka mereka sudah tiada, namun mereka terselamat, cuma bapa saya yang terkorban,” jelasnya.
Beberapa bulan selepas bencana itu berlaku, Abe turun ke laut untuk memulakan penternakan tiram yang dilakukannya sebelum ini.
“Saat saya turun semula ke laut, saya menyedari bahawa ini adalah satu-satunya kerja yang akan saya terus lakukan sampai bila-bila,” katanya.
Kini, anak sulung Abe, Kazuya sanggup berhenti kerja dan membantu bapanya mengembangkan perniagaan tiram dan Abe menyatakan keputusan itu adalah satu penghargaan buatnya.
Jelasnya, walaupun laut hampir merampas semua yang dimiliknya, kini, laut juga yang menyatukan mereka sekeluarga. – AGENSI










