LONDON: Selepas berdiam diri hampir sehari, Ratu Britain, Ratu Elizabeth II akhirnya bersuara mengenai pendedahan kontroversi oleh Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle dalam satu wawancara eksklusif bersama pengacara terkenal, Oprah Winfrey.
Menurut Ratu Elizabeth II, keluarga diraja Britain menzahirkan rasa sedih berhubung cabaran yang dialami oleh Harry dan Meghan.
Malah, Ratu Elizabeth II juga berjanji untuk menangani secara tertutup pendedahan bersama kerabat diraja termasuk Putera William dan Kate Middleton mengenai dakwaan isu perkauman berkaitan anak lelaki pasangan diraja itu.
“Seluruh keluarga berasa sedih selepas mengetahui cabaran yang dihadapi Putera Harry dan Meghan sejak beberapa tahun lalu.
“Isu-isu yang dibangkitkan terutamanya melibatkan perkauman adalah amat membimbangkan. Walaupun beberapa perkara mungkin berbeza namun kesemuanya dipandang serius dan akan ditangani oleh keluarga secara peribadi.
“Putera Harry, Meghan dan Archie akan sentiasa menjadi anggota keluarga yang disayangi,” jelas Istana Buckingham mewakili Ratu Elizabeth II dalam satu kenyataan.
Pendedahan kontroversi yang dibuat oleh Putera Harry dan Meghan menerusi wawancara eksklusif yang disiarkan di televisyen Amerika Syarikat (AS) telah mengheret monarki dalam kriris terbesar sejak insiden kematian Puteri Diana pada tahun 1997.
Dalam wawancara selama dua jam itu, Meghan mendakwa keluarga diraja Britain melahirkan kebimbangan mengenai warna kulit anaknya dan dinafikan bantuan ketika berdepan dengan masalah kesihatan mental.
Seorang sumber kepada keluarga diraja memberitahu bahawa pihak istana menganggap perkara itu sebagai masalah keluarga.
Katanya, kerabat diraja itu perlu diberi ruang untuk membincangkan isu-isu yang dibangkitkan itu secara tertutup sebagai sebuah keluarga. – REUTERS










