BAITULMUQADDIS: Syarikat farmaseutikal, Pfizer dan BioNTech memaklumkan data dunia sebenar dari Israel menunjukkan vaksin Covid-19 keluarannya adalah 94 peratus berkesan membendung jangkitan koronavirus tanpa gejala.
Data tersebut selari dengan laporan keberkesanan 95 peratus dalam ujian klinikal vaksin peringkat akhir yang dilakukan pada Disember tahun lalu.
Kementerian Kesihatan Israel memaklumkan data tersebut dibangunkan daripada pengesanan kadar jangkitan yang berlaku.
Sebelum ini, vaksin Pfizer-BioNTech mengurangkan jangkitan termasuk kes tanpa gejala sebanyak 89.4 peratus dan kes dengan gejala 93.7 peratus, berdasarkan data dari 17 Januari hingga 6 Februari lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Albert Bourla berkata, data itu sangat penting kepada masyarakat kerana menunjukkan individu yang menyebarkan virus kepada orang lain semakin sedikit tanpa mereka menyedarinya.
Analisis turut menunjukkan vaksin tersebut berkesan menentang varian Covid-19 dengan kadar jangkitan paling tinggi iaitu, B.11.7 yang ditemukan di Britain.
Namun, tiada penilaian keberkesanan dilakukan terhadap varian Afrika Selatan berikutan tahap jangkitan yang terhad di Israel,
Sehingga Rabu lalu, data Kementerian Kesihatan Israel menunjukkan sebanyak 55 peratus populasi 9 juta penduduknya diberikan suntikan satu dos vaksin Pfizer-BioNTech, manakala, 43 peratus sudah menerima dua suntikan.
Menurut analisis data yang dikumpulkan dari 17 Januari hingga 6 Mac, individu yang tidak divaksin 44 kali berisiko dijangkiti Covid-19 dan 29 kali lebih berisiko mati akibat virus tersebut.










