LONDON: Seorang model kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun berkahwin dengan remaja lelaki berumur 13 tahun hanya gara-gara mahu meraih pendapatan yang tinggi.
Perkahwinan itu heboh dan menjadi pertikaian dalam kalangan warganet kerana mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa mereka yang dipercayai mengambil kesempatan untuk memperoleh kekayaan dengan memuat naik kandungan kisah perkahwinan anak mereka di media sosial.
Lapor Daily Star, Mila Maxanets dan Pavel Pai dikatakan mula `bercinta’ selepas mendapat restu kedua ibu bapa mereka di Ukraine.
Bagaimanapun, kedua ibu bapa kanak-kanak tersebut menafikan meraih kemasyhuran atas perbuatan itu, malah merasakan perkahwinan Maxanets dan Pai tidak salah.
Media tempatan melaporkan bahawa ibu bapa berkenaan turut mengalakkan kedua kanak-kanak itu tinggal bersama di Kyiv dan merakam kandungan yang provokatif.
Warganet mengecam perbuatan ibu bapa itu dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas termasuk meletakkan kedua kanak-kanak itu dibawah jagaan mereka serta menyekat akaun media sosial.
Rata-rata pengguna laman media sosial berpandangan ibu bapa berkenaan melanggar nilai moral.
Maxanets dan Pai dilaporkan ‘berkahwin’ dalam satu majlis yang disokong oleh ibu bapa mereka.
Dalam pada itu, peguam dan pakar kriminiologi, Anna Malyar menuduh ibu bapa tersebut bersikap cuai terhadap anak-anak mereka.
Katanya, tindakan mereka sama sekali bertentangan dengan perkembangan normal kanak-kanak.










