JAKARTA: Polis menahan lima buruh binaan yang didakwa mencuri bahan pembinaan rumah di sebuah kediaman di Kedoya, Jakarta Barat.
Lapor CNN Indonesia, kejadian itu terbongkar selepas pemilik rumah tersebut menyedari rumahnya diubah suai tanpa kebenarannya.
Ketua Polis Jakarta Barat, Ady Wibowo berkata, pemilik rumah tersebut menyewakan rumahnya kepada seorang individu dan pada hari kejadian, dia datang ke premis tersebut untuk bertemu dengan penyewa berkenaan.
Jelas Ady, pemilik tersebut terkejut melihat rumahnya dalam keadaan bersepah dengan semua jubin lantai tercabut dan tingkap rumahnya dibuka.
“Pemilik kemudiannya melaporkan kejadian itu kepada persatuan penduduk dan polis. Setibanya polis di sana, terdapat lima buruh binaan sedang menanggalkan jubin lantai.
“Mereka memaklumkan penyewa menyuruh mereka mengubah suai rumah tanpa mengetahui tujuan sebenar adalah mencuri kesemua bahan binaan tersebut,” katanya.
Jelas beliau, polis ketika ini memburu penyewa tersebut.
“Kebiasaannya, pencuri akan mengambil barangan berharga seperti peralatan elektronik dan barang kemas, namun, kejadian kali ini agakunik.
“Modus operandi kumpulan ini adalah mereka berpura-pura ubah suai rumah sedangkan tujuannya adalah menjual semua bahan asas pembinaan tersebut,” ujar Ady.










