JAKARTA: Seorang anak tergamak memenggal kepala bapanya hanya kerana niatnya untuk berkahwin dengan wanita idaman tidak direstui.
Lapor Tribunnews, kejadian itu berlaku kelmarin di Kampung Sendang Rejo, Lampung Tengah.
Menurut ketua kampung, Hotini, suspek yang merupakan anak lelaki mangsa membawa kepala bapanya berarak ke seluruh kampung sambil menjerit ‘bapaku sudah mati, bapaku sudah mati’.
“Isteri mangsa memberitahu suaminya dan anak mereka bertengkar sebelum suspek memgambil parang dan memenggal kepala bapanya.
“Terkejut dengan kejadian itu, isteri mangsa menjerit meminta tolong dan penduduk kampung membuat laporan polis,” katanya.
Jelas Hotini, suspek pernah mengutarakan niat kepada ibu bapanya untuk berkahwin, namun dibantah kerana dia dipercayai mengalami masalah mental.
Sementara itu, polis Lampung Tengah akan menyiasat insiden tersebut termasuk dakwaan suspek menghidap penyakit mental.










