Suami hampir tidak kenali isteri selepas berat turun 50kg - Utusan Malaysia

Suami hampir tidak kenali isteri selepas berat turun 50kg

DARREN HUNT bersama isterinya, Abigail selepas menurunkan hampir separuh daripada berat badannya. - WALES NEWS SERVICE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Seorang lelaki yang pulang bekerja dari luar negara terkejut melihat penampilan baharu isterinya yang lebih kurus selepas berjaya menurunkan hampir separuh daripada berat badannya.

Darren Hunt, 43, tidak dapat pulang ke rumah untuk bertemu dengan isterinya, Abigail, 44, selama 10 bulan ketika bekerja di Asia Barat disebabkan sempadan negara tertutup akibat pandemik Covid-19.

Lapor Daily Mail, Hunt hampir tidak mengenali isterinya yang mengalami perubahan drastik selepas berjaya menurunkan berat badan kira-kira 50 kilogram (kg) dalam tempoh tersebut.      

Abigail yang bekerja sebagai bidan di Hospital Wrexham Maelor, North Wales bertekad untuk meningkatkan tahap kesihatannya semasa tempoh perintah berkurung dengan mengawal pemakanannya secara serius dan melakukan lebih banyak senaman.

Menurut laporan itu, badan Abigail menjadi semakin kurus selepas dia mengelak daripada mengambil makanan ringan termasuk biskut.

Jelas laporan tersebut, kadar Indeks Jisim Badan (BMI) Abigail juga turun jauh lebih rendah iaitu daripada 49.8 kepada 30.2 dengan bantuan kumpulan Slimming World.

“Saya rasa gembira kerana akhirnya dapat mencapai berat badan yang diinginkan selama ini. Saya tahu waktu pandemik ini amat memberi tekanan kepada semua orang, tetapi saya tidak berputus asa.               

“Saya pastikan saya mengamalkan diet pemakanan yang sihat dan kerap bersenam dalam tempoh tersebut untuk mengurangkan risiko komplikasi kesihatan,” katanya.

Jelas Abigail, sebelum ini dia mempunyai tekanan darah tinggi dan akibatnya sering mengalami sakit kepala yang teruk. 

“Saya hanya mampu melakukan kerja ringan dan berasa penat jika banyak bergerak dalam suatu masa. Malah, saya sering mengalami masalah sakit sendi akibat berat badan berlebihan,” katanya.

Dalam pada itu, Hunt mengakui dirinya terkejut selepas melihat perubahan pada isterinya.

“Saya gembira dapat pulang ke rumah dan mengejutkan untuk melihat perubahan terhadap isteri saya. Dia kelihatan luar biasa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya