Kerajaan tarik balik larangan kebumikan mangsa Covid-19 - Utusan Malaysia

Kerajaan tarik balik larangan kebumikan mangsa Covid-19

SRI LANKA sebelum ini mewajibkan semua pesakit Covid-19 yang meninggal dunia dibakar bagi mengelak penularan jangkitan. - EPA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLOMBO: Kerajaan Sri Lanka menarik balik larangan kontroversi kaedah pengebumian pesakit yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Larangan tersebut ditarik balik secara rasmi hari ini selepas beberapa bulan berdepan bantahan daripada penduduk beragama Islam serta tekanan antarabangsa.

Pada Mac tahun lalu, kerajaan negara ini melaksanakan peraturan yang menyaksikan semua mayat pesakit Covid-19 perlu dibakar dan bukannya ditanam.

Peraturan itu dilaksanakan selepas kerajaan Sri Lanka menyatakan virus Covid-19 boleh tersebar dan mencemari air bawah tanah sekiranya mayat pesakit ditanam.

Namun, langkah tersebut ditentang keras oleh semua organisasi Islam di negara ini yang menegaskan tiada kajian saintifik menunjukkan pengebumian secara ditanam akan menyebarkan virus Covid-19.

Beberapa siri tunjuk perasaan juga berlaku bagi mendesak kerajaan Sri Lanka menarik balik peraturan tersebut memandangkan ia bertentangan dengan ajaran agama Islam untuk membakar jenazah.

Kelmarin, ahli-ahli Parlimen Sri Lanka yang beragama Islam mendesak Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan yang dalam rangka lawatan ke negara ini supaya membincangkan isu tersebut dengan para pemimpin negara.

Pengerusi Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR), Michelle Bachelet turut membahaskan isu tersebut ketika menghadiri Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva, kelmarin.

“Polisi membakar mayat pesakit Covid-19 menyebabkan rasa tidak puas hati, kesedihan dan tekanan kepada penduduk minoriti beragama Islam dan Kristian,” katanya.

Satu protes besar-besaran juga diadakan sebelum itu oleh sejumlah kumpulan pertubuhan bukan kerajaan Islam di luar pejabat perdana menteri bagi menggesa larangan tersebut ditarik balik.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kumpulan pakar perubatan Sri Lanka terdahulu menyatakan pesakit Covid-19 yang meninggal dunia boleh ditanam atau dibakar mengikut kesesuaian sesebuah negara.

Sri Lanka merekodkan kematian akibat Covid-19 sebanyak 459 kes dengan lebih 82,000 penduduk positif dijangkiti virus tersebut sejak Januari tahun lalu.

Majoriti penduduk negara ini adalah beragama Buddha dan Hindu yang mengamalkan kaedah pembakaran bagi urusan pengebumian.

Manakala, populasi penduduk Islam di Sri Lanka adalah sebanyak 10 peratus daripada 21 juta penduduk.

Pada awal bulan ini, Perdana Menteri Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa memberikan kebenaran kepada penduduk Islam untuk mengebumikan pesakit Covid-19 yang meninggal dunia mengikut kaedah yang sewajarnya. 

Kebenaran itu diperoleh selepas ramai ahli Parlimen mempersoalkan dakwaan mengenai adakah benar virus Covid-19 boleh tersebar menerusi air bawah tanah sekiranya mayat ditanam.

Ahli Parlimen Sri Lanka yang beragama Islam, Rishard Bathiudeen berkata, beliau gembira dengan keputusan tersebut

“Saya berharap keluarga mangsa Covid-19 boleh menarik nafas lega dengan penarikan semula larangan tersebut dan mengebumikan keluarga mereka mengikut ajaran agama yang sepatutnya,” ujarnya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya